Kemusnahan dan kesan Gempa_bumi_dan_tsunami_Tōhoku_2011

Panorama Semenanjung Hirota di Rikuzentakata hanyutFoto utdara Minato yang musnah akibat gempa dan tsunami

Tahap kemusnahan yang disebabkan oleh gabungan gempa bumi dan tsunami memang dahsyat, khususnya kesan tsunami. Rakaman di bandar-bandar yang paling teruk terjejas memaparkan sekadar timbunan runtuhan batu, dan hampir tiada bangunan yang masih berdiri teguh.[135] Nilai kerugian akibat kerosakan dianggarkan sekitar berbiliob dolar Amerika Syarikat; gambar foto kawasan terjejas ambilan satelit sebelum dan selepas bencana menunjukkan betapa dahsyatnya kemusnahan di merata tempat.[136][137] Sungguhpun Jepun melaburkan berbilion dolar untuk membina tembok laut penghalang tsunami setinggi 12 meter (39 ka) yang menggarisi sekurang-kurangnya 40% daripada garis tepi laut sepanjang 22,000 batu, namun tsunami dengan mudahnya menjangkaui batasnya dan merosakkan sesetengah tembok laut itu.[138]

Kebakaran yang tercetus di Tokyo selepas gempa bumi.

Pada 3 April 2011, Agensi Polis Jepun berkata bahwa 45,700 buah bangunan musnah dan 144,300 lagi rosak akibat gempa dan tsunami. Antara yang rosak termasuk 29,500 binaan di Wilayah Miyagi, 12,500 di Wilayah Iwate dan 2,400 di Wilayah Fukushima.[139] 300 buah hospital dengan 20 katil ke atas di rantau Tōhoku menerima kerosakan akibat bencana ini, termasuk 11 buah yang binasa sepenuhnya.[140] Bencana gempa dan tsunami ini menyebabkan reruntuhan puing berjumlah 24–25 juta tan di Jepun.[141][142]

Saki-baki dihanyutkan ke laut

Sekitar 230,000 buah kereta dan lori rosak atau musnah akibat bencana ini. Setakat akhir Mei 2011, para penduduk wilayah-wilayah Iwate, Miyagi, dan Fukushima telah memohon penyahdaftaran sebanyak 15,000 buah kenderaan; ertinya kenderaan-kenderaan itu dikira musnah kerana tidak boleh dibaiki atau tidak boleh diselamatkan lagi.[143]

Loji kuasa nuklear

Stesen-stesen janakuasa Fukushima I, Fukushima II, Onagawa dan Tōkai yang terdiri daripada 11 reaktor ditutup secara automatik ekoran gempa bumi.[144] Higashidōri yang juga terletak di pantai timur laut, sedang ditutup untuk pemeriksaan bermusim ketika bencana berlaku. Penyejukan diperlukan untuk mengawal haba reput selama beberapa hari selepas loji ditutup. Proses penyejukan dijana oleh penjana diesel kecemasan, seperti di Loji Pemprosesan Semula Rokkasho.[145] Du Fukushima I dan II, ombak tsunami menjangkaui tembok laut dan memusnahkan sistem kuasa simpanan kecemasan, menyebabkan masalah teruk termasuk dua letupan besar di Fukushima I serta kebocoran radiasi. Lebih 200,000 orang diarah berpindah.[146]


Setelah genap sebulan kemelut nuklear ini, para pakar mengakui bahawa Fukushima I belum tentu kemalangan nuklear yang paling teruk, tetapi adalah yang paling rumit. Para pakar nuklear berkata bahawa Fukushima melakar sejarah sebagai kemalangan nuklear kedua paling teruk dalam sejarah; biarpun tidak seteruk bencana Chernobyl, tetapi lebih dahsyat daripada kemalangan Three Mile Island. Masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun terpaksa dimakan untuk mengetahui sejauh mana pelepasan isotop-isotop yang berbahaya memudaratkan kesihatan manusia dan bekalan makanan serta kawasan sekeliling kawasan bencana.[147]

Analisa-analisa selanjutnya mendapati bahawa tiga buah reaktor (Unit 1, 2, dan 3) telah mengalami peleburan dan masih kebocoran air pendingin.[15] Pada pertengahan tahun, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, ketua Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, serta ketua Agensi Sumber Alam dan Tenaga ketiga-tiganya dilucutkan jawatan.[148]

Loji Kuasa Nuklear Fukushima I dan II

Jepun mengisytiharkan darurat ekoran kerosakan sistem penyejukan di Loji Kuasa Nuklear Fukushima I, menyebabkan penduduk berdekatan terpaksa berpindah keluar.[149][150] Pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri telah melaporkan bahawa tahap radiasi dalam loji itu mencapai 1,000 kali tahap normal,[151] manakala radiasi di luar loji mencapai 8 kali tahap normal.[152] Kemudian, darurat turut diisytiharkan di Loji Kuasa Nuklear Fukushima II sekitar 11 km (7 batu) di selatan.[153] Oleh itu, terdapat enam buah reaktor nuklear yang mengalami kesusahan.[154]

Gambaran loji kuasa Fukushima, Unit 1 sebelum dan selepas kerosakanKelasi USN yang tiba untuk tugas kemanusiaan diperiksa untuk kededahan radiasiPeta menunjukkan pusat gempa dan kedudukan loji nuklear

Sesium radioaktif dengan 58 Bq sekilogram air campur iodin, dan 177 Bq sekilogram air dikesan dalam air paip di Bandar Fukushima, Fukushima pada 16 Mac, 08:00 JST.[155] Pada 19 Mac, kerajaan Jepun melaporkan bahawa iodin radioaktif dilaporkan dalam air paip yang disampelkan pada 18 Mac di Tochigi, Gunma, Tokyo, Chiba, Saitama, dan Niigata, serta sesium radioaktif dalam air pili yang disampelkan pada 18 Mac di Tochigi dan Gunma, tetapi semuanya tidak melebihi had keselamatan negara.[156][157] Pada 5 April 2011, kerajaan Wilayah Ibaraki melarang kegiatan memancing belut pasir setelah mendapati bahawa spesies tersebut dicemari oleh sesium radioaktif yang melamapaui had selamat.[158]

Tempat lain

Bahagian turbin Loji Kuasa Nuklear Onagawa terbakar ekoran gempa.[145][159] Kebakaran itu terjadi di sebuah bangunan yang menempatkan turbin, dan terletak secara berasingan dari reaktor loji,[149] lalu dipadam serta-merta.[160] Loji itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.[161]

Pada 13 Mac, darurat tahap terendah diisytiharkan berkenaan loji Onagawa kerana sukatan radioaktif melebihi takat yang dibenarkan di kawasan sekitar logi buat masa yang singkat.[162].[163][164] Tohoku Electric Power Co. menyatakan bahawa ini mungkin disebabkan oleh radiasi dari kemalangan nuklear Fukushima I tetapi bukan dari loji Onagawa itu sendiri.[165]

Gegaran susulan pada 7 April menyebabkan terputusnya bekalan elektrik luaran kepada Loji Pemprosesan Semula Rokkasho dan Loji Kuasa Nuklear Higashidori tetapi penjana sandaran masih berfungsi. Loji Kuasa Nuklear Onagawa terputus 3 daripada 4 talian kuasa luaran serta tergendala fungsi pendinginannya selama lebih 80 minit. Tumpahan air radioaktif sebanyak beberapa liter berlaku di Onagawa.[166]

Reaktor nombor 2 di Loji Kuasa Nuklear Tōkai ditutup secara automatik.[144] Pada 14 Mac, dilaporkan bahawa pam sistem pendingin reaktor ini berhenti berjalan;[167] bagaimanapun, Syarikat Kuasa Atom Jepun menjelaskan bahawa terdapat satu lagi pam yang menampung sistem pendingin, tetapi dua daripada tiga penjana diesel yang digunakan untuk menjana sistem pendingin sudah rosak.[168]

Empangan dan bekalan air

Empangan pengairan Fujinuma di Sukagawa pecah,[169] menyebabkan banjir yang menghanyutkan rumah-rumah.[170] Lapan orang dilaporkan hilang dan empat mayat ditemui pada pagi keesokannya.[171][172][173] Dilaporkan bahawa ada orang tempatan yang cuba membaiki kebocoran pada empangan sebelum rosak sepenuhnya.[174]

Sekurang-kurangnya 1.5 juta rumahtangga dilaporkan terputus bekalan air.[175]

Elektrik

Menurut Tohoku Electric, sekitar 4.4 juta rumah tangga di kawasan timur laut Japan terputus bekalan elektrik.[176] Beberapa loji janakuasa nuklear dan biasa ditutup selepas gempa bumi. Pemutusan bekalan elektrik secara beransur-ansur bermula pada 14 Mac ekoran kekurangan bekalan elektrik akibat gempa.[177] Tokyo Electric Power Company (Tepco), yang biasanya menyalurkan tenaga elektrik sebanyak kira-kira 40 GW, mengumumkan bahawa pihaknya hanya dapat membekalkan sekitar 30 GW, kerana 40% bekalan elektrik yang digunakan di kawasan Tokyo raya kini dibekalkan oleh reaktor di wilayah-wilayah Niigata dan Fukushima.[178] Dua daripada reaktor itu, iaitu Fukushima Dai-ichi dan Fukushima Dai-ni, ditutup secara automatik apabila gempa pertama berlaku, lalu menerima kerosakan teruk akibat gempa dan tsunami. Pemutusan tenaga elektrik selama tiga jam sehari dijangka berterusan hingga akhir April di wilayah-wilayah Tokyo, Kanagawa, Shizuoka, Yamanashi, Chiba, Ibaraki, Saitama, Tochigi, dan Gunma.[179]

Bahan api

Kebakaran kilang penapisan Cosmo Oil di Ichihara

Kilang penapisan minyak 220,000 tong sehari[180] milik Cosmo Oil Company terbakar akibat gempa di Ichihara, Wilayah Chiba, di timur Tokyo.[181] Kebakaran besar turut terletus di tempat lain, seperti di bandar Kesennuma.[182][183]

Di Sendai, sebuah kilang penapisan minyak 145,000 tong sehari milik syarikat penapisan terbesar Jepun, JX Nippon Oil & Energy, turut kebakaran akibat gempa.[180] Para pekerjanya sempat mengosongkan premis,[184] tetapi amaran tsunami menghalang kerja memadam api sehingga 14 Mac.[180]

Seorang penganalisa menganggarkan bahawa penggunaan pelbagai jenis bahan api bakal meningkat sebanyak 300,000 barrel (48,000 m3) sehari (begitu juga dengan gas asli cair), apabila loji janakuasa sandaran yang membakar bahan api fosil cuba menampung kehilangan kapasiti kuasa nuklear Jepun sebanyak 11.[185][186]

Loji mengimport gas asli cecair milik pemerintah bandaraya Sendai rosak teruk, maka bekalan terputus selama kira-kira sebulan.[187]

Pengangkutan

Rangkaian pengangkutan Jepun mengalami gangguan teruk. Sebahagian besar Lebuh Raya Tōhoku di Jepun utara mengalami kemusnahan.[188] Semua perkhidmatan rel digantung di Tokyo, menyebabkan seramai 20,000 orang terkandas di stesen-stesen utama di seluruh kota.[189] Berjam-jam selepas gempa berlaku, sesetengah khidmat tren dipulihkan.[190] Kebanyakan landasan tren di kawasan Tokyo kembali berkhidmat penuh pada hari keesokannya, 12 Mac.[191] 20,000 pelawat terkandas bermalam di Tokyo Disneyland pada malam 11–12 Mac.[192]

Sebuah ombak tsunami membanjiri Lapangan Terbang Sendai pada 15:55 JST,[73] kira-kira sejam selepas gempa pertama. Kedua-dua lapangan terbang Narita dan Haneda turut menggantung operasi selepas gempa, maka kebanyakan penerbangan ke situ dilencongkan ke lapangan lain selama kira-kira 24 jam.[193]

Penumpang terkandas dalam keretapi Tokyo. Gangguan besar pada pengangkutan tren, jalan raya dan udara, berlaku di Tokyo dan Jepun timur laut juga.

Banyak perkhidmatan tren di merata Jepun turut dibatalkan, khususnya JR East yang menggantungkan segala perkhidmatan sampai akhir hari.[194] Empat tren pada landasan pantai dilaporkan putus hubungan dengan pengendalinya; salah satu daripadanya, tren empat gerabak di Laluan Senseki, didapati terbabas, tetapi penumpangnya sempat diselamatkan kira-kira jam 8 pagi keesokannya.[195] Tren laju Shinkansen tidak mengalami kebabasan di dalam dan luar Tokyo, tetapi khidmatnya juga digantung.[193] Tōkaidō Shinkansen memulihkan khidmat terhad di akhir hari dan kembali ke jadual bisanya pada hari keesokan, manakala Jōetsu dan Nagano Shinkansen kembali berkhdimat pada 12 Mac. Tōhoku Shinkansen mengalami kerosakan ketara pada tiang elektrik dan landasan bertingkat, apalagi keadaan landasan di kawasan yang paling teruk terjejas masih sukar dipastikan.[196] Setelah diberhentikan lebih lama daripada khidmat Shinkansen yang lain, Tōhoku Shinkansen kembali separa berkhidmat pada 15 Mac, dengan satu perjalan pergi bali setiap jam antara Tokyo dan Nasu-Shiobara.[197]

Perintah putus bekalan elektrik akibat krisis di loji kuasa nuklear di Fukushima mendatangkan kesan mendalam pada rangkaian rel sekitar Tokyo sejak 14 Mac. Syarikat tren besar mulai mengendali tren pada selang 10–20 minit (biasanya 3–5 minit), mengendali sesetengah aliran pada waktu puncak sahaja, sementara menutup aliran-aliran yang lain (khususnya Laluan Utama Tokaido, Laluan Yokosuka, Laluan Utama Sobu dan Laluan Chuo-Sobu kesemuanya digantung pada hari itu).[198] Ini menyebabkan ibu kota hampir lumpuh kerana orang ramai terpaksa berbaris lama untuk menaiki tren hingga ada yang tidak dapat pergi ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Pihak pengendali tren beransur-ansur meningkatkan kapasiti pada hari-hari berikutnya, sehingga mencapai kapasiti 80% pada 17 Mac, sekaligus meringankan kesesakan penumpang yang paling teruk.

Telekomunikasi

Perkhidmatan telefon bimbit dan talian tetap mengalami gangguan besar di kawasan yang terjejas.[199] Bagaimanapun, kebanyakan perkhidmatan Internet masih dapat dilencongkan dari kerosakan talian;[200] hanya sebilangan kecil tapak web yang tidak dapat dibuka pada mulanya.[201] Beberapa pembekal hotspot Wi-Fi bertindak dengan menyediakan capaian percuma ke dalam rangkaian masing-masing.[201]

Rujukan

WikiPedia: Gempa_bumi_dan_tsunami_Tōhoku_2011 http://gulftoday.ae/portal/067b285e-6644-4460-b882... http://www.couriermail.com.au/ipad/twilight-tsunam... http://www.heraldsun.com.au/news/japan-on-tsunami-... http://www.news.com.au/world/japan-earthquake-evac... http://www.theaustralian.com.au/fire-at-nuclear-po... http://www.radioaustralianews.net.au/story.htm?id=... http://www.cbc.ca/news/canada/british-columbia/sto... http://www.biobiochile.cl/2011/03/12/caldera-80-vi... http://www.publimetro.cl/nota/mundo/marejadas-ingr... http://www.accuweather.com/blogs/news/story/47459/...